Assalamualaikum dan salam sejahtera…..
Hari ini ada terbaca satu artikel lama yang disimpan rapi dalam koleksi barang lama di rumah. Rasanya memang sesuai untuk dikongsikan di dalam entri ini sebagai panduan teman-teman blogger blog ini. Dalam kita leka membuat entri, sekali sekala perlu juga untuk kita tambahkan ilmu agama sebagai bekalan diri.
Ada beberapa cara orang melakukan rukun solat yang pertama, iaitu “niat”. Kebanyakankita cuba mengatur ayat niat yang kita pelajari itu di dalam kepala kita sewaktu melakukan Takbiratul-ihram. Ada yang membaca lafaz “usalli”, dan ada yang kata tidak perlu membaca lafaz itu. Walaubagaimanapun, ada satu tazkirah dari Tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengenai perkara ini, yang sangat baik untuk kita baca dan kita hayati. Tazkirah ini disalin dari ruangan Mau’idzoh dalam akhbar Harakah bil.1372, 5 Sept 2008, ms.F6 bertajuk “Niat, perkara mudah dipersulit si jahil”.
Masalah yang hendak dibincangkan ini adalah perkara penting, kerana ia menyentuh secara langsung terhadap solat. Perkara tersebut ialah masalah niat. Masalah ini sudah lama jadi perbahasan dalam masyarakat Islam, sejak sekian lama hingga isu kejahilan dapat diatasi.
Adapun waswas dalam niat ini berpunca daripada cacat dalam pemikiran atau jahil dalam agama. Takbir berulangkali dengan sebutan serta kekerapan angkat tangan, boleh mengganggu orang lain yang sedang bersolat.
Ibarat orang turun naik tangga lantaran hati tidka tenang. Apabila hati tidak tenang mengakibatkan gerak geri tidak tenang juga. Melaksanankan solat berkehendak kepada hati yang tenang. Supaya hati jadi tenang hendaklah memahami erti ‘niat’ yang letaknya pada permulaan solat.
Solat bermula dengan sebutan ‘Aa’ permulaan bacaan “Allahu akbar”, iaitu takbiratul-ihram. Niat terletak sebelum sedikit daripada ucapan ‘Aa’ itu. Selepas dari sebutan “Allahu akbar”, tidak dinamakan niat. Niat itu bererti hendak melaksanakan sesuatu sebelum ia dilakukan. Seandainya seseorang tidak memahami kaedah dan kedudukan niat, maka sentiasa berada dalam keadaan waswas. Punca waswas ketika hendak solat ialah daripada cacat bercelaru dalam pemikiran, atau kejahilan hal ehwal syarak disebabkan tidak mempelajarinya, atau solat dalam keadaan sasau.
Menurut pendapat Al-Ghazali, jika tidak jahil dan tidak sasau nescaya seseorang tidak diganggu waswas kerana menunaikan kerja Allah SWT sama kedudukannya dengan tunai kerja lain, sama-sama ada niat sebelum melaksanakannya. Semua gerak geri manusia dalam melakukan pelbagai urusan mesti didahului niat. Niatnya sama saja dengan niat solat, mengagungkan Allah SWT dan yang dimaksudkan serupa menunaikan kerja Allah SWT dengan kerja lain bukanlah serupa dari segenap segi. Sama hanya dari sudut ‘qashad’ (niat).
Sesiapa yang dikunjungi orang laim lantas bingkas bangun untuk menyambutnya. andai dia berniat, perlukah menyebut beberapa baris ayat seperti “Saya niat berdiri kerana hendak menghormati orang alim itu dan kuhadap muka kepadanya”? Dengan ucapan niat sedemikian, nyatalah bahawa orang itu tidak cerdik(safih).
Sebagaimana ternyata sejak zaman bila pun orang yang meraikan orang alim atau siapa sahaja, sebaik terpandang orang laim itu muncul di ambang pintu, dengan spontan tercetus di hati hasrat menghormatinya. Secara mendadak bingkas bangun kerana menghormatinya. Kecuali dia bangun kerana ada tujuan lain, kebetulan dengan kehadiran orang alim itu. Demikian itu tidak dinamakan hendak menghormatinya, tetapi dia bangun dengan tujuan yang lainataupun dia bingkas bangun kerana mengigau. Bangun seperti tanpa niat kerana bangun dalam keadaan tidak sengaja.
Timbul masalah niat solat itu samada fardhu atau sunat, tunai atau sebaliknya, Zuhur atau Asar. Serupalah ketika seseorang itu bingkas bangun dengan ingatan hendak menghormati orang alim yang bertamu ke rumahnya, tiada tujuan selain menghormatinya.
Apabila seseorang angkat takbir dengan tujuan hendak solat, apakah solat itu semestinya seperti yang dimaklumkan. Jika waktu Zuhur tidaklah seseorang itu melakukan solat Asar, wajib atau sunat. Setiap orang yang melaksanakan solat semua perkara itu semestinya tersedia ada dalam hatinya. Tiada orang yang hendak mendirikan solat dalam situasi tercengang dan termangu, tiada sesuatu maklumat mengenai solat itu yang hendak didirikan.
Seumpama orang duduk termangu ketika orang alim bertamu ke rumahnya. Jika beberapa ketika kemudian dia bangun juga, maka bangunnya itu tidak dengan niat menghormatinya. Ketika orang meraikan tok alim pada awal kedatangannya, tetapi dia tidak berbuat demikian. Niat menghormati adalah pada awal kehadirannya.
Inilah perkara yang setiap orang patut ketahui kerana ia mesti berlaku secara spontan setiap kali hendak memulakan sesuatu pekerjaan atau ibadah. Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya rukun solat dengan lengkapnya, kecuali persoalan niat sekadar disentuh secara umum dalam hadisnya yang masyhur: “Setiap amal mesti dengan niat”.
Adapun Takbiratul-ihram disebut dengan berjela-jela, lantaran niat menjadi suatu susunan perkataan. Sejak daripada menyebut jenis solatnya, fardhu atau sunatnya, jumlah rakaatnya, menghadap kiblat dan kerana Allah Taala. Niat jika tidak diatur nescaya hadir secara spontan bentuk srangkai dengan lengkap.
Sesiapa yang tidak memahami niat mengikut cara yang dinyatakan ini, seolah-olah dia tidak memahami niat sebenarnya. Masalahnya ialah anda diajak untuk solat dalam waktu tertentu, lalu anda memperkenan seruan itu lantas berdiri menunaikannya. Sebenarnya itulah yang dimaksudkan dengan niat. Adapun niat ialah perasaan yang terbit dari hati hendak melakukan sesuatu perkara.
Begitu mudahnya niat solat menurut penjelasan Imam Ghazali. Oleh itu jika timbul juga waswas tanda kejahilan menguasai orang itu. Ia jadi sukar lantaran diri sendiri menyukarinya. Disebabkan jahil dalam masalah niat menyebabkan hati bercempera. Waswas akibat memaksa diri memasukkan ke dalam hati banyak perkataan yang dianggap sebagai niat pada waktu singkat.






