Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Setelah puas bercuti selama 4 hari di kampung menghabiskan masa menghirup udara segar setiap hari setiap pagi dan melalui kehidupan lama sebagai seorang pemuda kampung, rasa malas pulak nak bekerja hari ni. Tambahan pulak bila tengok bermacam-macam kertas dan fail di atas meja pejabat. Makin serabut otak aku nak memikirkan rutin harian proses kerja aku hari ini.
Sebenarnya, plan aku untuk bercuti cuma 2 hari sahaja iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Tetapi bila dapat duduk di kampung yang jauh dengan kesesakan dan kesibukan kota, rasa berchinta pulak nak balik ke ibukota. Tambahan pulak bila adik-adik dalam mood cuti sekolah. kebanyakan masa di kampung dihabiskan dengan melayan kerenah adik-adik sahaja. Hero dan heroin aku pun turut sama seronok sakan bila dapat duduk lama dikampung sampaikan sanggup tidak mahu tidur petang. Sibuk melayan mak-mak sedara yang rajin melayan kerenah hero dan heroin aku nih. Almaklumlah, Cucu pertama dalam keluarga, bila balik kampung sahaja memang dinanti-nantikan saat itu oleh adik-adik. Bangun pagi mesti cari hero dan heroin aku dulu, baru la nak pergi mandi pagi. Itu yang sampai pipi dan muka bau air liur basi.
Mungkin korang yang membaca atau singgah di entri ini pun sama macam aku jugak. Memang liat nak balik semula ke rumah sendiri kalau dah lama berada di kampung. Teringat dulu masa aku di zaman sekolah. Waktu tu, rasa tak sabar-sabar sangat nak cari kerja dengan berhijrah ke kota. Duduk dikota dengan suasana hingar bingar deruman enjin kereta, lori, 4X4, motosikal dan sebagainya. Kalau boleh nak tinggalkan mak dan ayah untuk ringankan beban kewangan diorang. bila setahun dah bekerja dan sudah terkumpul dalam tangan, sudah mula ada perasaan jemu untuk memerah keringat untuk bekerja. Pemikiran pulak dah berubah untuk pulang semula ke kampung cuba cari rezeki pulak di kampung. Herdikan dari boss atau majikan, pengalaman dimarah oleh penyelia dan punch kad merah 27 hari dalam 1 bulan menjadi titik pengukur untuk pulang mencari kerja dikampung. Itulah, dulu nak sangat keluar dari kampung. Bila dah keluar, nak balik dan duduk semula di kampung. Itulah dia sifat manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.
Orang yang berasal dari kampung seperti aku ni sangat-sangat beruntung sebab berasal dari kampung, tempat bermulanya kita mengenali adat resam kaum Melayu. Macam mana pulak mereka yang takde dan memang tak pernah ada kampung? Keluar lahir kedunia ni, memang dibesarkan dan hidup di bandar. Penuh dengan hutan batu yang mencakar langit. Nak kenal hutan memang jauh sekali. Kalau dalam cerita Cun arahan Osman Ali, merungkai segala isi yang tersirat yang tersimpan di dalam hati mereka yang tidak pernah ada atau tidak pernah kenal erti suasana kampung.
Pernah suatu ketika dulu, kerajaan pernah menyuarakan kerisauan terhadap golongan muda yang kebanyakannya berhijrah mencari rezeki dikampung untuk mencari pekerjaan yang sesuai. Ada sesetengah dari mereka menganggap dikampung tidak mempunyai pekerjaan tetap. Pekerjaa nyang boleh pun hanyalah seperti menoreh getah, kait buah kelapa sawit, ambil upah menebas kebun dan kerja-kerja kampung yang sesuai. Bila dah jadi seperti ini, golongan yang tinggal hanyalah golongan tua yang suatu ketika dulu adalah pelopor kepada pembukaan kampung tersebut. Bila anak-anak kesemuanya dah berhijrah keluar bekerja, kerja-kerja di kampung semuanya diselesaikan oleh golongan pelopor ini. Kalau yang masih tinggal di kampung pun hanyalah mereka yang memegang wasiat dari ibubapa yang telah tiada dan diamanahkan untuk menjaga harta pusaka peninggalan orang tua mereka.
Aku berkongsi pengalaman ini bukanlah untuk mengutarakan sebarang ketidakpuasan hati, tetapi mahu berkongsi tentang realiti sebenar suasana dikampung pada ketika ini. Kalau dulu ramai yang beranggapan dengan bekerja di bandar sahaja mampu merubah kehidupan seseorang, dan sekarang pandangan itu telah lama meleset. Kalau nak diibaratkan, mereka yang mencari rezeki di kampung adalah lebih teratur kehidupan mereka jika dibandingkan dengan kita yang menetap dan mencari rezeki di bandar. Sara hidup yang tinggi, keperluan wajib untuk keluarga dan diri sendiri serta suasana kota menjadikan kita seperti dibelit dan dirantai oleh komitmen pada orang lain. Berbeza dengan suasana bekerja dikampung, terpulang pada diri sendiri untuk memulakan kerja pada bila-bila masa, tiada soal dimarahi majikan, tiada soal punch kad, tidak perlu pening kepala melihat meja bersepah dengan fail dan macam-macam lagi. Sara hidup yang rendah serta keperluan yang sederhana disebabkan sumber pendapatan yang mudah menyebabkan pilihan untuk pulang semula ke kampung telah menjadi pilihan oleh anak-anak muda. Tidak kira yang pulang dengan membawa keluarga hasil perkahwinan di ibukota atau pulang semula dalam keadaan bujang trang tang-tang, janji mahu menabur bakti dengan memberi khidmat sepenuh raga bagi memajukan kampung.
Aku rasa sungguh beruntung disebabkan aku masih lagi memiliki kampung tempat tanah tumpah darahku dan asal usul aku. kampung telah banyak mengajar aku erti kehidupan, adat dan tatasusila, pergaulan sesama rakan dan kaum, semuanya telah mula ada semenjak dulu lagi di kampung. Cuma, yang menyedihkan, masih ada segelintir anak-anak muda yang lupa diri dan hilang terus membawa diri ke ibukota tanpa sebarang berita. Seolah-olah mahu melenyapkan identiti mereka yang dulunya di gelar budak kampung. Aku pernah disapa oleh seorang kawan sekelas sewaktu di tingkatan 1. Waktu itu, aku ditumpangkan di rumah kakak aku di Kuala Lumpur. Memang menjadi kebiasaan, apabila masuk ke sekolah, tercengang-cengang itu menjadi kebiasaan disebabkan tidak biasa dengan suasana disekolah bandar. Aku ditegur dengan panggilan “Hoi budak kampung” oleh seorang rakan sekelas aku waktu itu. Perasaan tercabar dan terkejut terus bermain di fikiran ini. Persoalan “Perlukah kita menggelarkan seseorang itu BUDAK KAMPUNG” dipanggil sedemikian rupa. Pada aku, tidak ada bezanya seseorang itu budak bandar atau budak kampung, cuma yang membezakan adalah asal usul sahaja walhal, yang menetap dan mencari rezeki di bandar juga majoritinya datang dan berhijrah dari kampung.
Pada aku, biarlah suasana kampung itu dimeriahkan dengan golongan tua muda yang bersatu padu untuk memajukan industri kampung dan suasana di bandar meriah dengan golongan yang mencari rezeki halal melalui industri perkilangan dan syarikat-syarikat swasta. Biar sama adil dan sama banyak dan tidak berat kepada salah satunya. Pada aku, barulah sesebuah negara akan lebih maju dan lebih berdaya saing ditambah pula dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan berbagai budaya.
Sedang aku menulis entri ini, aku terfikir kembali untuk kembali semula ke kampung untuk menabur bakti di sana. Isteri pula memberi galakan dan sanggup untuk berpindah duduk di kampung dan mencari pekerjaan bersesuaian. Tapi masih belum lagi ditahap “dalam dilema” lagi.
Sekadar celoteh kosong di akhir entri